Monday, September 7, 2009

Kari atau Tomyam..

Hehehe...ini bukan cerita pasal nak berbuka apa hari ni..
Ada seseorang memberikan analoginya yang saya ini ibarat kari dan dirinya ibarat tomyam. Dalam hati berkata..em..baru semalam aku masak kari ikan nak berbuka..hehehe

Sahabat yang saya sebutkan ini menghadiahkan saya sehelai tudung yang sangat cantik. Wah..berbunga-bunga hati saya menerima pemberian tersebut. Walaupun disebutkan sebagai sahabat di sini, tetapi dirinya sudah berumur 56 tahun dan ibu saya sendiri muda setahun sahaja daripada dirinya. Seorang yang cukup berdisiplin, berfikiran jauh dan mempunyai banyak idea menarik. Dirinya tidak putus-putus menasihatkan saya supaya sambung belajar dan cepat berkahwin. Hahaha! Diceritakan juga pengalaman-pengalaman hidupnya.. dan sememangnya banyak pengalaman yang boleh saya kutip. Berkahwin di usia yang agak lewat diabaikan suami, berusaha sendiri mencari nafkah untuk membesarkan seorang anak yang sekarang berada di tingkatan satu.

Banyak dugaan hidup yang dilaluinya dan mungkin kerana itu menjadikannya seorang yang 'keras hati' dan kuat berpegang kepada prinsip meskipun kadangkalanya apa yang disuarakan tersebut kelihatan seperti janggal. Satu yang saya akui sememangnya dia kurang disenangi oleh sesetenagah orang. Mendengaran rintihan hatinya membuatkan saya kasihan dan sangat bersimpati dengannya. Mungkin kerana sikapnya yang begitu saya akui dia kurang di senangi.

Sehari selepas dia menghadiahkan saya sehelai tudung, keretanya hilang di Tesco Ampang. Berjuraian air matanya menceritakan kepada saya dugaan yang dihadapinya. Sabar dan pasrah itu sahajalah yang mampu saya nasihatkan kepadanya kerana Allah mengujinya di dalam bulan yang mulia ini. Kehilangan keretanya tidak diceritakan kepada sesiapa kecuali saya kerana bimbang orang sekeliling akan mengata dan mengejeknya.

Di dalam kesedihan tersebut dia menganggap saya seorang yang berfikiran terbuka kerana menerimanya sebagai seorang sahabat. Sebenarnya saya cuba memahaminya dan memahami mereke-mereka yang berada di sekeliling saya dan berlapang dada dengan sesiapa jua. Saya ibarat kari katanya kerana kari boleh di masak tanpa santan, jika tiada santan, susu cair atau yougart masih boleh digunakan bagi menggantikan santan. Itulah saya katanya boleh di bawa ketengah, ketepi, berkawan dengan semua orang tanpa ada masalah. Tidak seperti dirinya yang seperti tomyam. Ramuan khas, cukup rasa, cukup masam tidak ada alternatif lain seperti kari, seperti juga dirinya, serius dan akan mempertahankan pendapatnya hingga sanggup bertegang leher.

Maka nasihatnya kepada saya teruslah menjadi kari kerana untuk mendepani kehidupan mendatang, pelbagai rencam manusia, sikap dan cara bertindak manusia yang akan saya jumpa. Katanya lagi, yang dia sudah berumur, jiwa cukup sensitif, cukup jika orang menghormatinya sebagai orang lebih tua. Itu sahaja.

Terima kasih di atas ingatan, saya belajar sesuatu yang berharga darinya dan menjadikan saya sentiasa akan selalu berfikir dan memperbaiki diri untuk menjadi contoh kepada yang lain.

2 comments:

az_abrar said...

salam. satu lagi tentang kari ni..amat disukai org utara :)

sensei_kun said...

u..feveret oghang utagha...hari2 kari a.k.a gulai pun xpa!! mai secawan!!